KUCHING: Kerajaan Sarawak menetapkan tempoh maksimum 12 jam untuk bertindak menghantar bekalan air ke kawasan yang mengalami gangguan bekalan itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tempoh ini ditetapkan selepas menerima aduan bagi memastikan keperluan asas penduduk terjamin ketika berlaku gangguan bekalan.
“Arahan itu penting bagi memastikan setiap aduan berkaitan gangguan bekalan air mendapat tindakan segera tanpa menunggu keadaan menjadi lebih kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kraf Iban Women Charitable Trust (IWCT) 2025/2026 di Riverside Majestic Hotel, di sini, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada menetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membekalkan air minuman ke kawasan yang memerlukan, terutama apabila berlaku gangguan bekalan.
Menurutnya, penggunaan lori tangki Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan agensi bekalan air berkaitan turut digalakkan kerana mempunyai kapasiti penghantaran yang lebih besar.
