Institusi keluarga asas pembentukan masyarakat sejahtera – Hasidah

KUCHING: Majlis Keluarga Idaman Wanita Bahagia Hingga Ke Syurga memberi tumpuan kepada pengukuhan ilmu dan kemahiran wanita dalam membina kehidupan keluarga bahagia serta sejahtera.

Seramai 300 peserta menghadiri program yang dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.7 Samariang.

Beliau berkata, program hasil kerjasama Hikmah, Lembaga Amanah Masjid dan Baitulmal itu memberi ruang kepada wanita menimba ilmu berkaitan kehidupan berkeluarga serta kesejahteraan rumah tangga.

“Kita perlu sentiasa bertanya kepada pasangan kita, mengucapkan terima kasih untuk menghargai pasangan, memohon maaf apabila melakukan kesilapan dan paling penting kita perlu sentiasa mengawal emosi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Keluarga Idaman Wanita Bahagia Hingga Ke Syurga, di sini, hari ini.

Beliau berkata, majlis ilmu seperti itu penting bagi membolehkan peserta membawa pulang pengetahuan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Keluarga juga perlu diperkasakan kerana institusi keluarga merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera,” katanya ketika ditemui media selepas majlis tersebut.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai kejadian ribut dan pokok tumbang di Samariang semalam.

Katanya, keselamatan masyarakat khususnya pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan, manakala Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah turun ke lapangan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau menegaskan perjuangan mempertahankan hak Sarawak akan terus menjadi agenda utama Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tanpa mengira siapa yang mentadbir Kerajaan Persekutuan.