Nurjehan bawa pulang Ford Ranger MAGGI®️

KUCHING: Percubaan kedua Nurjehan Salleh dari Samarahan dalam kempen Gawai tahunan MAGGI®️ Jom Masak dan Menang Bersama membuahkan hasil apabila beliau diumumkan sebagai pemenang hadiah utama di sini, hari ini.

Dengan kemenangan itu, Nurjehan membawa pulang sebuah Ford Ranger XL edisi terhad yang menampilkan rekaan khas berasaskan motif tempatan Sarawak.

Pada tahun lalu, Norjihan turut mengambil bahagian namun beliau sekadar mendapat tempat kedua.

Pengumuman pemenang berlangsung di pusat beli – belah Vivacity, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan media Maggi, program tersebut merupakan kemuncak sambutan Gawai bersama MAGGI®️ tahun ini.

Pada majlis sama, MAGGI®️ turut menyumbangkan RM15,000 kepada Helping Hands Penan bagi menyokong keperluan pendidikan 55 pelajar Penan, termasuk pengangkutan, peralatan sekolah, penginapan dan perbelanjaan harian.

Majlis penyampaian sumbangan dilakukan Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI®️ Malaysia dan Singapura, Ivy Tan Link Cheh sambil disaksikan Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie.

Sumbangan itu turut dilihat sebagai usaha memperkasa wanita Penan dengan membantu mengurangkan beban kewangan pendidikan anak-anak serta menyokong kesejahteraan keluarga.