SPAOH: Seramai 18 penerima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerima bantuan input perikanan bagi mengembangkan projek ternakan ikan air tawar.
Bantuan itu membabitkan jumlah keseluruhan RM119,490.45 diyakini mampu meningkatkan pengeluaran ikan selain menjadi sumber pendapatan tambahan kepada keluarga, khususnya masyarakat luar bandar.
Tuai Rumah Ambu Liben dari Rumah Panjang Suri Tengah, Debak, berkata bantuan berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa ekonomi masyarakat luar bandar.
Menurutnya, sokongan berterusan amat penting bagi membantu penduduk mengembangkan aktiviti ekonomi berasaskan sumber tempatan secara lebih tersusun.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, atas bantuan itu.
Sementara itu, penerima, Dana Munang, berkata bantuan tersebut memberi peluang kepadanya mengembangkan projek ternakan ikan serta menambah pendapatan keluarga.
Katanya, bantuan berkenaan turut membantu mengurangkan beban kos operasi yang diperlukan untuk mengusahakan projek tersebut.
Bantuan diserahkan menerusi Simbolik Penyerahan Bantuan Input Perikanan DUN Bukit Saban oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai mewakili Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di perkarangan Pejabat Pertanian Spaoh, hari ini.
Antara bantuan diterima termasuk set tangki air, 504 beg baja ikan, 29,497 ekor anak ikan Talapia Merah dan Jelawat serta pelbagai peralatan ternakan ikan air tawar.
Bantuan menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu diharap meningkatkan produktiviti penerima, sekali gus memperkukuhkan sektor perikanan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar.
