KUCHING: Tahun 2026 disifatkan sebagai ‘delivery year’ bagi Kerajaan Sarawak bagi merealisasikan penyampaian perkhidmatan serta memastikan perancangan pembangunan negeri diterjemahkan kepada hasil dan dirasai oleh rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, ini khususnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030)
“Tahun ini merupakan titik peralihan penting apabila fasa persediaan perlu diterjemahkan kepada prestasi sebenar, manakala kredibiliti penyampaian kerajaan akan diukur berdasarkan hasil sebenar di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Amanat Bulanan Setiausaha Kerajaan Sarawak bagi bulan Mac 2026 di sini, hari ini.
Katanya, seperti yang ditegaskan Premier Sarawak, tahun 2026 merupakan tahun penentu kepada penyampaian kerajaan negeri.
“Tahun inilah yang akan menentukan sama ada segala perancangan di bawah RMK-13 dan PCDS 2030 benar-benar dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan dirasai oleh rakyat.
“Kita harus mengakui bahawa cabaran yang kita hadapi pada hari ini semakin kompleks. Selain bebanan tugas yang meningkat, kita turut berdepan dengan suasana global yang tidak menentu.
“Ketegangan geopolitik, perubahan dasar perdagangan antarabangsa serta gangguan terhadap rantaian bekalan global memberi tekanan kepada ekonomi dunia dan Sarawak sudah pasti akan turut menerima kesannya, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya
Tegasnya, suasana VUCA, iaitu ‘Volatility’, ‘Uncertainty’, ‘Complexity’ dan ‘Ambiguity’ menuntut anggota Perkhidmatan Awam Sarawak untuk bertindak dengan lebih strategik, tangkas dan bersedia.
Justeru, beliau menegaskan prinsip 3R, iaitu ‘Revisit’, ‘Rethink’ dan ‘Recharge’ perlu terus dijadikan panduan dalam memperkukuh keupayaan organisasi, memperkemas cara kerja serta memastikan setiap tindakan benar-benar berfokus kepada penyampaian yang berkesan.
Sehubungan itu jelasnya, ketua-ketua jabatan, pegawai daerah, arkitek, pereka dalaman serta jurutera daripada agensi pelaksana perlu turun padang bagi melihat sendiri keadaan sebenar serta memahami keperluan setempat.
Mengakhiri amanatnya, beliau menegaskan bahawa walaupun berdepan dengan ketidaktentuan global serta ekspektasi rakyat yang semakin meningkat, beliau yakin dengan semangat ‘SCS One Team’, Perkhidmatan Awam Sarawak mampu terus berdiri teguh sebagai satu pasukan yang padu.
