SIMANGGANG: Peristiwa Nuzul al-Quran tidak seharusnya sekadar menjadi catatan sejarah dalam kalendar, sebaliknya wajib diangkat sebagai titik perubahan besar dalam membina tamadun Islam yang berpaksikan ilmu, akhlak, dan keadilan sejagat.
Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Mual Suaud menegaskan bahawa kitab suci ini merupakan manual kehidupan menyeluruh, merangkumi aspek akidah sehingga muamalah, yang perlu diterjemahkan ke dalam tindakan realiti.
Menurut beliau, cabaran kritikal umat masa kini bukan lagi setakat kelancaran membaca, tetapi sejauh mana masyarakat mampu membedah, memahami, dan menghayati setiap mesej wahyu dalam mendepani arus modenisasi.
”Al-Quran perlu menjadi kompas utama dalam membuat keputusan, membina institusi keluarga, memimpin masyarakat, malah dalam urusan pentadbiran negeri,” katanya pada majlis penangguhan Seminar Nuzul al-Quran Peringkat Sarawak 1447H di SK Agama MIS Sri Aman, semalam.
Beliau turut menggesa gerakan bersepadu antara ibu bapa dan institusi pendidikan untuk membudayakan pengajian al-Quran sejak awal usia bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja celik huruf, malah ‘celik jiwa’.
Sinergi antara agensi agama dan masyarakat dilihat sebagai nadi utama dalam memastikan syiar Islam terus subur di bumi Sarawak, sekali gus membentuk komuniti yang berintegriti tinggi serta berilmu pengetahuan.
Seminar padat ilmu itu berjaya menarik 210 peserta dengan pengisian daripada lima pakar, menyentuh topik kritikal seperti sejarah wahyu, teknik Waqaf Ibtida, serta bedah karya surah Al-Fatihah buat panduan harian.
