Kumpulan sasar dirai dalam Ramah Mesra Ramadan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

KUCHING: Seramai 180 orang terdiri daripada golongan sasar diraikan dalam Majlis Ramah Mesra Ramadan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Bersama Kumpulan Sasar di sebuah hotel di sini, hari ini.

Golongan tersebut turut menerima sumbangan yang disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.

Kumpulan sasar itu terdiri daripada seramai 80 kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah, Sekolah Tunas Bakti dan Asrama Akhlak Kuching, Taman Seri Puteri dan Asrama Akhlak Kuching serta Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol Sri Aman.

Sementara, seramai 30 warga emas dari Rumah Seri Kenangan Kuching, Pusat Aktiviti Warga Emas Kuching dan Pusat Aktiviti Warga Emas Darul Hana.

Manakala, selebihnya seramai 50 Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Pusat Pemulihan Samarahan, Desa Bina Diri Kuching, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta seramai 20 penerima bantuan asnaf/ anak yatim.

Sementara itu, Nancy dalam ucapannya berharap kanak-kanak dalam kumpulan sasar itu berusaha bersungguh-sungguh mengejar impian mereka.

“Teruslah bermimpi besar. Usia muda adalah nikmat yang tidak ternilai, dan saya percaya setiap seorang daripada anda semua membawa potensi yang luar biasa,” katanya.

Manakala, kepada warga emas dan rakan-rakan OKU, beliau berkata ketabahan dan pengalaman hidup mereka adalah inspirasi yang nyata buat semua.

“Ingatlah, setiap daripada anda mempunyai nilai, mempunyai suara dan mempunyai tempat yang penting dalam masyarakat kita,” tambahnya.

Majlis diserikan dengan persembahan nasyid dan tazkirah sementara menunggu waktu berbuka.