KUCHING: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) baru-baru ini menerima pembentangan khas daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata pembentangan tersebut melibatkan aspek pentadbiran serta beberapa perkara lain yang dipersetujui untuk diserahkan kuasa kepada Sarawak dan Sabah.
“Banyak perkara telah mencapai persetujuan, termasuk beberapa bidang yang boleh diserahkan kepada kedua-dua negeri berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Zakat Cahaya Ramadan 2026 dan Pek Makanan di Surau Darul Ikhlas, Telekom Malaysia Sarawak Hub,di Jalan Sultan Tengah Kuching hari ini.
Seramai 60 asnaf di bawah kawasan Parlimen Petra Jaya menerima sumbangan tersebut.
Turut menerima sumbangan ialah masjid dan surau di sekitar TM Sarawak Hub.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, perkara yang telah dipersetujui nanti akan dibawa ke peringkat majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri serta dihadiri Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak sebelum dimuktamadkan dan diumumkan secara rasmi.
“Jadi dua perkara ini banyak yang telah selesai di peringkat Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan,” tambahnya.
Beliau berkata, tarikh mesyuarat majlis berkenaan masih belum ditetapkan, namun kebiasaannya diadakan dua kali setahun.
“Mesyuarat itu dijangka diadakan secepat mungkin, mungkin antara Mei atau Jun tahun ini,” katanya.
