Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak wajar ditambah, tambahan 17 kerusi DUN Sarawak sedang diteliti

KUCHING: Cadangan untuk menambahkan bilangan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak wajar dipertimbangkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Katanya, penambahan kerusi Parlimen itu akan membantu wakil rakyat memberi tumpuan lebih kepada perkhidmatan serta kebajikan rakyat di kawasan masing-masing

Beliau menegaskan keluasan kawasan di Sabah dan Sarawak antara faktor penting mengapa penambahan kerusi Parlimen itu diperlukan.

“Penambahan kerusi itu akan memastikan suara rakyat di kedua-dua negeri berkenaan lebih kukuh di peringkat Persekutuan.

“Kita boleh memberi fokus yang lebih baik terhadap khidmat kepada rakyat, selain memperkukuhkan usaha mempercepatkan pembangunan infrastruktur asas di kawasan Borneo,” katanya selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra dan Berbuka Puasa Bersama Media di YS Cafe di sini, hari ini.

Beliau menambahkata, dengan pertambahan dana pembangunan juga boleh ditingkatkan dan ini membolehkan wakil rakyat memberi perhatian lebih kepada kebajikan rakyat serta pembangunan infrastruktur asas, khususnya di luar bandar yang masih ketinggalan.

Sementara itu, mengulas mengenai kelulusan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tahun lalu yang masih belum dibentangkan di Parlimen, Mustapha berkata perkara itu sedang diteliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

Katanya, ini merupakan proses sebelum perkara terbabit dibawa ke peringkat Parlimen dan beliau berharap ini dapat dipercepatkan.

“Perkara ini sudah dibangkitkan dan kita berharap pihak yang terlibat dapat mempercepatkan proses tersebut,” katanya.