KUCHING: Generasi muda di Spaoh perlu meneroka aktiviti ekonomi baharu berasaskan pelancongan serta produk tempatan menjelang pelaksanaan beberapa projek pembangunan utama di kawasan itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peluang tersebut perlu direbut lebih awal agar penduduk tempatan tidak ketinggalan apabila pembangunan pesat mula berlaku.
Menurutnya, beberapa projek infrastruktur yang sedang dirancang dan dilaksanakan dijangka membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi serta kemasukan lebih ramai pelawat ke kawasan berkenaan.
“Pembinaan landasan pendek (STOLport) Bebuling, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling, jalan baharu Sri Aman–Betong serta Jambatan Sungai Paku
memperkukuh jaringan dan meningkatkan potensi Spaoh sebagai destinasi pelancongan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2026 Warga Spaoh (Kuching) di Kompleks UNIFOR di sini, malam tadi. Hadir sama, Datin Amar Dato Doreen Mayang, Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong Sabai serta Ketua Wanita PBB Bukit Saban Natasha Nasa Douglas.
Uggah berkata, antara peluang yang boleh diteroka termasuk perusahaan pelancongan, penyediaan makanan tempatan, penghasilan kraftangan, perkhidmatan inap desa serta produk berkaitan budaya dan warisan tempatan.
