Sarawak hab peranti perubatan

KUCHING: Perkembangan teknologi semasa yang disokong oleh daya saing pasaran akan mengembangkan industri peranti perubatan di negeri ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) akan terus memain peranannya dengan berkongsi insentif yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan dalam membantu mengembangkan industri itu di negeri ini.

MDA mendapati potensi Sarawak untuk menjadi hab peranti perubatan di rantau ini adalah cerah, katanya merasmikan sesi libat urus bersama pemain industri peranti perubatan di Sarawak 2024 di sini.

Sebagai hab peranti perubatan, aktiviti perdagangan import dan eksport dapat dijalankan dengan lebih cepat dengan negara berdekatan seperti Jepun, Korea dan China, tegas beliau.

“Ini akan menarik pelabur asing untuk melabur di negeri Sarawak dalam industri peranti perubatan,” tambahnya.

Menurut Lukanisman, bantuan dan peluang yang boleh diceburi adalah dari segi penyediaan fasiliti, insentif dan khidmat perundingan kepada pelabur dan syarikat yang berminat.

Selain itu, katanya, MDA akan mengadakan beberapa perjanjian kerjasama antara negara-negara ASEAN bagi memudahkan proses regulatori di setiap negara.

Beliau menegaskan, industri peranti perubatan dan aktivitinya merangkumi bidang penyelidikan dan latihan dan melalui sesi libat urus itu adalah diharapkan pihak industri memahami keperluan, isu dan peluang berkaitan peranti perubatan di Sarawak.

MDA mengadakan sesi mesyuarat bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Pelaburan Sarawak (MINTRED) bagi meninjau peluang kerjasama untuk membantu dan membuka peluang kepada pelabur dan syarikat yang berminat melabur dalam industri berkaitan peranti perubatan di negeri ini.

Hadir sama Timbalan Menteri MINTRED, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh.