KUCHING: Fasa pertama pengagihan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) akan dikreditkan esok.
Bantuan itu membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM179.6 juta.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Abdullah Zaidel berkata fasa kedua, juga berjumlah RM179.6 juta, dijadual untuk pengagihan pada 15 Mei depan.
Katanya, ini diikuti fasa ketiga pada 10 November depan, membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM180.6 juta.
“Bantuan SKAS ini akan disalurkan kepada penerima dalam tiga peringkat sepanjang tahun ini dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM539.8 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan mengenai perubahan tarikh Peringkat Kedua 15 Mei 2026 kepada media, hari ini.
Abdullah Zaidel berkata, seramai 857,814 penerima dikenalpasti layak menerima bantuan ini berdasarkan data penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Satu Tahun 2026.
Melalui program ini, katanya Kerajaan Sarawak berharap dapat terus menyokong isi rumah dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup serta memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar memerlukan.
