Kem Ihya Ramadan pupuk jati diri, kepimpinan generasi muda

KUCHING: Kem Ihya Ramadan 2026 Siri Ke-11 yang berakhir semalam, menghimpunkan pelajar sekolah sekitar bahagian ini sebagai platform membentuk kepimpinan serta sahsiah generasi muda berteraskan nilai agama.

Malah, program seumpama itu wajar terus disokong kerana mampu memupuk jati diri serta kepimpinan anak muda sejak usia awal.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, program itu penting kerana kepimpinan masa depan terletak pada generasi muda.

“Jika kita mempunyai anak muda yang berkarisma, maka harapan masa depan akan menjadi lebih cerah.

“Seperti pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, kita perlu membentuk asas kepimpinan serta nilai yang baik sejak awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kem Ihya Ramadan 2026 Siri Ke-11 di CENTEXS Kuching, semalam.

Sebagai tanda sokongan, Fadillah mengumumkan peruntukan sebanyak RM60,000 bagi menyokong penganjuran program tersebut pada tahun hadapan.

Kem selama tiga hari dua malam itu melibatkan penyertaan seramai 96 pelajar daripada 10 sekolah sekitar Kuching dengan pengisian program berbentuk kerohanian serta pembangunan sahsiah.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie serta Pengarah Program Kem Ihya Ramadan 2026 merangkap Pengerusi Pertubuhan Sahabat Amal Negeri Sarawak Wan Lukmanhakim Wan Sajali.