KUCHING: Beberapa projek tebatan banjir bernilai lebih RM200 juta sedang dan telah dilaksanakan bagi menangani masalah banjir di kawasan Batu Kawa.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, kawasan Batu Kawa sering terjejas banjir, namun keadaan itu dijangka dapat diatasi sepenuhnya selepas semua projek tebatan yang sedang berjalan siap kelak.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa berkata, terdapat empat projek tebatan banjir dilaksanakan di sekitar kawasan berkenaan, dengan sebahagiannya telah siap manakala selebihnya masih dalam peringkat pelaksanaan.
“Di kawasan Desa Wira misalnya, projek fasa pertama bernilai kira-kira RM20 juta telah pun siap. Fasa terakhir pula melibatkan kos sekitar RM36 juta dan kontraktor telah memulakan kerja,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara Dewan Stapok (PPS) hari ini.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau menjelaskan, projek-projek tersebut memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 4,000 penduduk di kawasan berkenaan.
Selain pembinaan sistem perparitan, projek berkenaan turut melibatkan pembinaan kolam takungan sementara atau ‘retention pond’ bagi menampung lebihan air ketika hujan lebat, katanya.
“Sebanyak empat kolam takungan kering dibina di Batu Kawa dengan keluasan keseluruhan kira-kira 16 ekar.
“Apabila berlaku hujan lebat dan air meningkat, kolam ini akan menampung lebihan air sebelum ia dilepaskan secara terkawal,” jelasnya.
Bagi fasa terakhir projek tersebut, benteng sepanjang tiga kilometer (km) turut dilaksanakan memandangkan beberapa kawasan kampung berhampiran sungai berada pada paras tanah yang rendah.
“Jika benteng tidak dibina, air sungai akan terus melimpah ke kawasan kampung apabila paras air meningkat. Selain itu, tiga pam air turut dipasang untuk mengepam air keluar dari kolam takungan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan pembiayaan projek berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof yang memainkan peranan di peringkat Persekutuan dalam projek besar pengurusan banjir.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan projek bernilai RM2.4 bilion bagi pembinaan saluran pintasan Sungai Sarawak yang akan mengalihkan kira-kira 60 peratus aliran air sungai tersebut.
