DALAT: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) menyalurkan seumlah RM23,867,250 bantuan kepada kira-kira 4,500 penerima di Bahagian Mukah sepanjang tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menjelaskan, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8,162,200 disalurkan kepada 1,460 penerima bantuan di daerah Dalat sahaja.
“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula, seramai 1,458 penerima di daerah Dalat menerima bantuan daripada pelbagai skim yang disediakan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sejambak Kasih Hari Raya 2026, di Kompleks Kebajikan Dalat, di sini, hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu, Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2026 yang dilaksanakan itu tanda keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap golongan yang memerlukan.
Katanya, kerajaan negeri melalui program ini, menyalurkan sumbangan tunai serta hamper kepada penerima bantuan sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan mereka.
“Kita berharap bantuan tersebut dapat dimanfaatkan oleh penerima sempena Hari Raya yang akan tiba,” katanya sambil menambah terdapat seramai 581 penerima bantuan beragama Islam di daerah Dalat.
Pada majlis sama, Fatimah turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Dalat 2026 Fasa 1 kepada 10 penerima dengan jumlah keseluruhan RM189,000.
Hadir sama Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah, Dariel Thiong Yiew Seng serta Pegawai Daerah Dalat, Matthew Hubert.
