Keterjaminan makanan agenda utama perlukan tindakan proaktif

SARATOK: Isu keterjaminan sumber makanan kini menjadi agenda mendesak yang memerlukan tindakan proaktif komuniti bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan makanan negara yang lebih mampan dan stabil.

​Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menegaskan bahawa kesedaran mengenai kepentingan sumber makanan adalah kritikal kerana berkait rapat dengan kestabilan kehidupan harian masyarakat secara menyeluruh.

​Perkara itu diulas susulan lawatan kerja Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), Datuk Martin Ben ke tapak Projek Stesen Sub-Makanan Haiwan di Kampung Kaba, semalam.

​Menurut Mohamad Duri, komuniti Kampung Kaba pimpinan Ketua Kaum Ahmad Diwi Deli telah menunjukkan teladan cemerlang dengan menyahut seruan kerajaan untuk memperkukuh sektor agromakanan.

​Langkah strategik tersebut dizahirkan melalui penubuhan koperasi khusus yang kini giat mengusahakan aktiviti penternakan ayam, itik, dan kambing secara komersial bagi menjana pendapatan.

​Beliau menzahirkan rasa bangga apabila Kampung Kaba terpilih menjayakan projek berimpak tinggi yang memproses makanan ternakan berasaskan bahan mentah tempatan seperti daun nipah, sagu, dan jagung.