SARATOK: Pasukan TRD dari Serian mengesahkan kejuaraan mereka apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Piala YB Mohamad Duri 2026 yang berlangsung dekat sini semalam.
Pasukan TRD mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan sekali gus menewaskan cabaran daripada 15 pasukan lain yang turut merebut gelaran juara dalam pertandingan anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Perpat.
Kejayaan tersebut membolehkan pasukan TRD membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,500 berserta piala dan pingat sebagai ganjaran kemenangan.
Naib juara pasukan Tebelu Kastom yang terpaksa akur tewas 2-1 dalam perlawanan akhir, namun tetap membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta piala dan pingat.
Tempat ketiga dimenangi pasukan KBC FC dari Krian Saratok yang menerima wang tunai RM800 selain piala dan pingat, manakala tempat keempat disandang oleh pasukan Generation dari Kampung Tuie yang membawa pulang RM400.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menzahirkan tahniah kepada
penganjur atas kejayaan menganjurkan kejohanan tersebut yang terus menjadi tradisi tahunan di Kampung Perpat.
