KUCHING: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengumumkan proses penjualan Hotel Merdeka Palace di Kuching kini hampir selesai.
Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu diambil setelah persetujuan dicapai dengan Pemodalan Satok Berhad (PSB), bagi memastikan pengurusan hotel bersejarah itu selaras dengan kepentingan negeri dan negara.
Beliau berkata, peringkat terakhir kini menunggu kelulusan pihak berkenaan, sambil menegaskan peranan FELDA sebagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam memastikan urusan ini berjalan lancar.
“Kita mahu memastikan hotel yang mempunyai nilai sejarah penting kepada Kuching ini diuruskan oleh pihak bersesuaian dengan kepentingan negeri dan negara.
“Alhamdulillah kita sudah sampai ke peringkat terakhir,” katanya selepas mengadakan lawatan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Ahmad Shabery berkata, pihaknya
kini melihat peluang untuk memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam bidang ekonomi hijau, pengurusan tanah dan pembangunan lestari.
“Sarawak berada di barisan hadapan dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro, menjadikan negeri itu rakan strategik untuk perkongsian inisiatif kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata, FELDA berharap dapat menggabungkan pengalaman Sarawak dengan dasar persekutuan, termasuk mekanisme seperti cukai karbon dan kredit karbon, bagi membuka sumber pendapatan baharu sambil mengekalkan kelestarian hutan dan ladang.
“Kita melihat Sarawak sebagai negeri contoh dalam pengurusan alam sekitar, yang boleh memberi input berharga untuk dasar nasional. Peluang ini wajar diterokai bersama,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Pengurus Besar Muhammad Fitri Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR) Datu Abdullah Julaihi serta Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood.
