Karnival JMU 2026 Zon Sarawak bantu pelajar pilih pengajian

KUCHING: Penganjuran Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU 2026) Zon Sarawak dilihat mampu menjadi platform merapatkan jurang maklumat pendidikan tinggi di kalangan pelajar.

Ini terutama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf dengan karnival ada 55 reruai pameran dari universiti awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti dan institusi latihan kemahiran.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini sekali gus membantu mereka membuat pilihan pengajian yang lebih tepat semasa berada di Pusat Pengajian Tinggi.

Tambah beliau, Sarawak ketika ini juga sedang menuju ke arah transformasi ekonomi berasaskan data, inovasi dan teknologi selaras dengan agenda pembangunan jangka panjang.

“Justeru, golongan belia disaran agar berani menceburi bidang pengajian yang selari dengan keperluan semasa seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui serta pertanian moden dan lestari,”katanya.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn mewakili Premier Sarawak membacakan teks ucapan tersebut ketika merasmikan Karnival Jom Masuk Universiti (JMU 2026) Zon Sarawak 1 di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak di sini, hari ini.

Abang Johari berkata disamping itu kepentingan penguasaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR) yang kini semakin diberi pendedahan awal dalam pendidikan.

“Pendedahan tersebut penting bagi memastikan pelajar Sarawak tidak ketinggalan dalam arus Revolusi Industri,”tambahnya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa)
Profesor Dr. Yamin Yasin mewakili Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.