SIMANGGANG: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga kini berada di ambang transformasi menerusi lima resolusi strategik yang dirangka bagi memacu pembangunan ekonomi lebih inklusif dan lestari, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, lima resolusi utama yang digariskan merangkumi pembangunan pelancongan lestari, industri halal, pertanian pintar, pendidikan berasaskan STEM dan TVET serta pengukuhan ekonomi digital.
Dalam sektor pelancongan, usaha akan memfokuskan pembangunan Koridor Lingga–Sebuyau–Sri Aman termasuk memperkasa acara Regata Lingga, Pesta Benak serta eko-pelancongan di Gunung Lesong bagi menarik pelancong antarabangsa.
Katanya, pendekatan pembangunan kini beralih daripada penekanan terhadap angka dan infrastruktur kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh.
Menurut beliau, kejayaan pembangunan harus diukur melalui kesejahteraan masyarakat, termasuk memastikan belia tidak lagi perlu berhijrah mencari pekerjaan, manakala petani menikmati pulangan setimpal dengan usaha mereka.
Berucap pada Majlis Pembentangan Resolusi Forum Ekonomi DUN Lingga di Dewan Suarah Sri Aman, beliau menegaskan kawasan itu kini berada di landasan tepat dengan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur strategik.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan majlis penangguhan.
Antara projek utama termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 dan 2, Jambatan Lingga serta rangkaian jalan raya Lingga–Sebuyau yang dijangka memperluas akses dan merancakkan aktiviti ekonomi.
Dayang Noorazah turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kepimpinan berwawasan yang berjaya meletakkan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi, sekali gus memastikan manfaat pembangunan turut dinikmati masyarakat luar bandar termasuk di DUN Lingga.
