KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) bersama Endeavor Malaysia mengumumkan sebanyak tujuh syarikat berimpak tinggi terpilih menyertai program SCALE Sarawak Kohort 3.
Menurut kenyataan TEGAS, syarikat terbabit ialah Satok Bridge Digital Sdn. Bhd., Maxeon Technologies Sdn. Bhd., Future Laboratory Sdn. Bhd., Stratetics Experts Sdn. Bhd., DuuDuu (Saralia Exports Pty Ltd), Letz Play Group Sdn. Bhd. dan Zuno PTE LTD.
Mereka akan memulakan kurikulum intensif Program SCALE Sarawak Kohort 3 di TEGAS Digital Village yang selama enam bulan dan dijadualkan berakhir pada Oktober 2026.
Peserta program memperkasa perniagaan anak Sarawak itu akan menjalani sesi bimbingan, bengkel dan menerima pandangan strategik dari Pengasas Binacap, Sunderaj Nagalingam, Ketua Pegawai Operasi JurisTech; Naaman Lee, Ahli Lembaga UEM Sunrise; Chari TVT serta Pengarah Urusan Endeavor Malaysia Shan Li Tay.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata pelaksanaan SCALE Sarawak tahun ini mencerminkan komitmen berterusan mereka dalam mentransformasikan ekonomi Sarawak dengan memperkasa pengasas tempatan melalui bimbingan bertaraf tinggi serta jaringan strategik.
“Kerjasama antara TEGAS dan Endeavor ini direka untuk membangunkan syarikat yang berdaya tahan dan mampu berkembang,”katanya.
Tambahnya ini sekali gus menyumbang kepada ekosistem keusahawanan negeri yang semakin berkembang, sejajar dengan visi jangka panjang Sarawak ke arah ekonomi digital yang mampan dan inovatif.
Sementara itu, Pengarah Urusan Endeavor Malaysia, Shan Li Tay berkata setiap syarikat yang dipilih mencerminkan pemikiran berani dan berwawasan yang mampu mentransformasikan ekonomi. “Peranan kami adalah menyediakan sokongan melalui jaringan, pandangan strategik serta bimbingan yang tepat bagi membantu mereka berkembang melebihi jangkaan,”tambahnya.
Pihaknya juga berbangga bekerjasama dengan TEGAS dalam menyokong generasi baharu usahawan berimpak tinggi di Sarawak, dan menantikan hasil inovasi yang bakal dicapai sepanjang program ini.
