KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Fahrin Jumandy Abdullah yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah.
Menurut kenyataan media JPN Sarawak hari ini, pihaknya turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta keluarga diberi ketabahan menghadapi ujian berat itu.
“Pada waktu ini, tumpuan JPN Sarawak adalah untuk memberi bantuan terbaik kepada keluarga Allahyarham Fahrin Jumandy,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, JPN Sarawak turut memastikan kebajikan seorang lagi murid yang sedang menerima rawatan akibat insiden tersebut terus diberi perhatian dan berharap murid terbabit segera sembuh.
Menurut kenyataan itu lagi, kejadian berkenaan kini dalam siasatan pihak berkuasa, manakala JPN Sarawak juga telah memulakan siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan aspek keselamatan di sekolah terbabit.
“Kawasan kejadian ditutup dan murid, guru serta seluruh warga sekolah tidak dibenarkan menghampiri kawasan tersebut sehingga keadaan disahkan benar-benar selamat,” katanya.
