Grid elektrik ke rumah panjang sedang dikaji

KUCHING: Projek pembinaan talian Konduktor Perlindung Voltan Sederhana (MVCC) Kapit-Baleh yang dibiayai Sarawak Energy Berhad (SEB) kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2027.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak (Utiliti), Datuk Ibrahim Baki berkata, projek tersebut melibatkan kos anggaran sebanyak RM62 juta.

MUT melalui SEB sedang mengkaji kebolehlaksanaan penyambungan grid ke rumah-rumah panjang di sekitar kawasan Baleh selepas projek tersebut siap kelak, katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi kawasan penempatan Tunoh, cadangan projek pembinaan MVCC bersama pencawang 33/11KV telah dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk pertimbangan dan kelulusan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).