Pendekatan inklusif diperkukuh rai perayaan utama di Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pendekatan inklusif dalam meraikan kepelbagaian kaum dan budaya di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam mengiktiraf kepelbagaian budaya dan perayaan utama rakyat Sarawak.

“Kebiasaannya, kita memberikan bantuan sumbangsih ini pada Hari Raya dan pada tahun ini, kita panjangkan juga kepada masyarakat yang merayakan Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai.

“Ini adalah satu pendekatan inklusiviti kita yang mana kerajaan mengiktiraf tiga perayaan tonggak ini khususnya unit beruniform yang bertugas pada hari perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Hari Gawai 2026, di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, keharmonian dan keamanan yang dinikmati Sarawak hari ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk pengorbanan anggota keselamatan dan pasukan beruniform.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota pasukan beruniform atas jasa dan komitmen mereka dalam memastikan negeri ini kekal aman serta harmoni sepanjang masa.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.