KUCHING: Kawasan Pantai Damai berpotensi menjadi antara pengeluar tembikai terbesar di Sarawak, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Katanya, ini berikutan keluasan tanah yang sesuai serta penglibatan aktif penduduk dalam sektor pertanian kontan.
Beliau berkata, kawasan Telaga Air dan Kampung Trombol mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab pengeluaran tembikai berkualiti tinggi.
“Pertanian kini menjadi sumber ekonomi utama masyarakat luar bandar di Pantai Damai, khususnya menerusi tanaman tembikai dan nanas,” katanya.
Menurutnya, usaha meningkatkan mutu hasil tanaman sedang diperkukuh melalui kerjasama dengan Jabatan Pertanian dan agensi penyelidikan berkaitan bagi memenuhi piawaian pasaran eksport.
Katanya, Sarawak dijangka mula mengeksport hasil tanaman kontan melalui Lapangan Terbang Bebuling di Betong bermula awal tahun depan.
Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan teknologi moden seperti Internet Pelbagai Benda (IoT), dron dan kecerdasan buatan (AI) akan diperkenalkan kepada petani bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian tempatan.
