KUCHING: Orang ramai bakal berpeluang merasai pengalaman menggunakan sistem Transit Aliran Autonomi (ART) pertama di Sarawak apabila Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) memulakan operasi percubaan pada suku keempat tahun ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata laluan percubaan tersebut akan melibatkan perjalanan dari Depo Rembus di Samarahan ke Northbank di Stutong sebagai persediaan awal sebelum sistem itu beroperasi sepenuhnya pada 2027.
“Tempoh percubaan itu penting bagi menilai aspek teknikal, operasi dan penyampaian perkhidmatan supaya sistem pengangkutan awam berkenaan benar-benar selamat, efisien dan bersedia untuk digunakan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Tambah beliau, Sarawak dijangka menerima empat unit ART serta 10 bas pengantara hidrogen tahun ini selepas proses pemeriksaan akhir mendapati semua kenderaan memenuhi spesifikasi teknikal dan operasi yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Lee berkata projek Fasa Satu KUTS mencapai kemajuan fizikal sebanyak 38.2 peratus setakat 30 April lalu, meskipun sedikit lewat daripada sasaran asal berikutan beberapa cabaran termasuk kerja pemindahan utiliti bawah tanah dan penambahbaikan jajaran projek.
Katanya, antara perubahan utama melibatkan Laluan Merah yang direka semula menjadi laluan bertingkat sepenuhnya dari Jalan Tun Razak ke Pending bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan sistem untuk jangka panjang.
Beliau turut memaklumkan Laluan Hijau akan dioptimumkan dengan laluan khas ART dari Pending ke Yayasan Sarawak, manakala bas pengantara hidrogen akan diteruskan hingga ke Damai Central bagi memperluaskan liputan rangkaian pengangkutan awam tersebut.
Menurutnya, keseluruhan projek KUTS disasarkan siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2030, manakala Sarawak Metro Sdn Bhd akan menguruskan pengeluaran hidrogen secara dalaman menerusi Loji Pengeluaran Hidrogen Rembus bagi menyokong operasi sistem ART.
