‘Sik da gago bertunggu feri lagik’, Jambatan Batang Lupar No 1 dibuka esok, bukti komitmen GPS


KUCHING: Sarawak bakal melakar satu lagi sejarah penting dalam pembangunan infrastrukturnya apabila Jambatan Batang Lupar No.1 di Sebuyau dijadual dibuka secara rasmi esok.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg berkata pembukaan jambatan sepanjang 4.8 kilometer (km) itu menamatkan kebergantungan rakyat terhadap perkhidmatan feri Triso yang sekian lama menjadi penghubung utama kawasan berkenaan.

Menurut beliau, pembukaan jambatan itu akan memudahkan perjalanan rakyat terutama menjelang sambutan Aidiladha dan Hari Gawai apabila pengguna tidak lagi perlu menunggu giliran menaiki feri.

“Esok, Sarawak akan menyaksikan satu detik bersejarah dengan pembukaan Jambatan Batang Lupar No.1 di Sebuyau. Dengan jambatan ini, rakyat dapat balik kampung dengan mudah sempena Hari Raya Aidiladha dan Hari Gawai. Sikda gago nak bertunggu feri lagik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berakhir hari ini.

Abang Johari turut mengimbau kembali keadaan dahulu apabila perjalanan menuju ke Bandar Simanggang mengambil masa sehingga enam hingga tujuh jam, namun kini semakin singkat hasil pembangunan rangkaian jalan raya dan jambatan moden di seluruh negeri.

Katanya, di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan Sarawak melaksanakan 21 projek jambatan utama bersama rangkaian Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua bagi memperkukuh sistem pengangkutan negeri.

Menurut Abang Johari, sebanyak 10 jambatan sudah siap dibina dan dibuka kepada orang ramai termasuk Jambatan Batang Lupar No.1 yang merupakan jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri memperluas jaringan jalan raya di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Tambahnya lagi, menjelang akhir tahun ini, lapan lagi jambatan dijangka siap.