KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) melancarkan Sistem Pengurusan Aduan Elektronik, Respons dan Komunikasi (e-SPARK) hari ini.
Pengurus Besar PUSAKA, Datu Zainal Abidin Abdullah menyempurnakan majlis pelancaran e-SPARK iaitu sebuah sistem aduan bersepadu, menyeluruh dan sistematik yang pertama di agensi tersebut di Wisma Sumber Alam, di sini.
“e-SPARK membolehkan pemegang taruh membuat aduan berkaitan etika, penguatkuasaan dan perkhidmatan pelanggan melalui satu platform tunggal,” menurut kenyataan PUSAKA.
Sehubungan itu PUSAKA menggesa orang awam dan kakitangan untuk memanfaatkan e-SPARK bagi menyampaikan sebarang luahan, aduan dan maklum balas dan boleh mengakses sistem e-SPARK melalui pautan https://apps.sarawaktimber.gov.my/aduan/
Sistem ini turut menekankan aspek perlindungan kerahsiaan bagi pemberi maklumat, selaras dengan Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat PUSAKA,
bagi menggalakkan orang awam dan kakitangan membuat laporan tanpa ragu-ragu.
“e-SPARK merupakan hasil inovasi Kumpulan ICESphere melalui Projek Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kementerian Sumber Asli
dan Pembangunan Bandar (MUDeNR),” tambahnya.
Kumpulan ICESphere, yang dianggotai oleh Seksyen Integriti, Bahagian Inspektorat & Penguatkuasaan, Bahagian Komunikasi Korporat dan Seksyen Teknologi Maklumat & Digital, bakal mewakili PUSAKA ke peringkat KIK MUDeNR, 8 Jun ini.
