UKAS digesa perluaskan Program Randau Komuniti ke peringkat daerah

DARO: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) digesa memperluaskan pelaksanaan Program Randau Komuniti ke peringkat daerah bagi memastikan masyarakat, khususnya di luar bandar, mendapat akses kepada maklumat kerajaan yang tepat dan terkini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad berkata, program itu terbukti berkesan sebagai platform penyampaian maklumat kerajaan secara terus kepada rakyat di samping memperkukuh hubungan antara kerajaan dan masyarakat.

“Pendekatan turun padang menerusi Program Randau Komuniti perlu diteruskan kerana bukan sahaja menjadi saluran penyampaian maklumat, malah mewujudkan ruang interaksi dua hala antara kerajaan dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Randau Komuniti 2026 Peringkat Bahagian Mukah serta Majlis Ngiling Bidai Rumah Panjang Nangar Kecil di Rumah Jaul Jinggong, Nangar Kecil, petang semalam.

Dr Safiee turut merakamkan penghargaan kepada UKAS atas peranannya sebagai medium komunikasi kerajaan dalam menyampaikan dasar dan pelbagai inisiatif pembangunan kepada masyarakat.

Pada majlis sama, Dr. Safiee menyempurnakan penyerahan surat pemakluman Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 bagi projek naik taraf Gereja Borneo Evangelical Mission (SIB) Nangar Kecil bernilai RM250,000.

Beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM19,000 kepada empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Nangar Kecil bagi menyokong pembangunan komuniti dan aktiviti kemasyarakatan di kawasan tersebut.

Turut hadir Pegawai Daerah Daro, Zul Usup.