Dart, menyumpit platform perpaduan dan promosi Daro

DARO: Kejohanan yang mengabungkan sukan dart dan menyumpit berjaya menarik penyertaan dari seluruh Sarawak dan Indonesia, sekali gus memperkukuhkan perpaduan masyarakat dan mempromosi daerah Daro.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, penganjuran Cabaran Penamat Double Dart Sarawak dan Pertandingan Menyumpit Berpasukan Terbuka Sarawak Piala YB Ahmad Johnie merupakan inisiatif unik dalam memartabatkan budaya tempatan sambil meraikan minat masyarakat terhadap aktiviti sukan.

Menurutnya, sukan bukan sahaja menjadi medan untuk mempamerkan bakat dan kemahiran, malah berperanan sebagai jambatan perpaduan yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, bangsa dan umur.

“Selain menggalakkan gaya hidup sihat, kejohanan seperti ini turut mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta dan komuniti serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penangguhan kejohanan berkenaan sempena Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro 2026 di sini, hari ini.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan peserta dart dan menyumpit dari seluruh Sarawak, malah turut disertai peserta menyumpit dari Indonesia.

Sebanyak 60 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut bagi merebut kejuaraan serta Piala YB Ahmad Johnie dalam suasana penuh semangat kesukanan dan persahabatan.

Ahmad Johnie berkata, kejohanan itu turut mencapai objektif penganjur untuk menarik penyertaan dari pelbagai kawasan, mempromosikan daerah Daro serta memperkukuh hubungan antara peserta dan masyarakat.

Beliau sehubungan itu berharap program itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mengembangkan potensi sukan dan warisan budaya sebagai medium perpaduan serta pembangunan komuniti.