KUCHING: Usaha kerajaan negeri memperkenalkan sistem pendaftaran dalam talian bagi Dana Endowmen Sarawak (EFS) dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) menunjukkan hasil positif apabila proses permohonan kini menjadi lebih pantas dan tersusun.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perubahan kepada kaedah digital itu bukan sahaja memudahkan ibu bapa, malah mengurangkan kebergantungan kepada urusan secara manual di kaunter.
“Sejak sistem berkenaan dilaksanakan tahun ini, tempoh pemprosesan permohonan berjaya dipendekkan dengan ketara berbanding sebelum ini.
“Jika dahulu proses kelulusan boleh mengambil masa antara tiga hingga enam bulan, kini kita berjaya mengurangkannya kepada sekitar satu hingga tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan EFS dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) yang berlangsung di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan kerajaan negeri menyasarkan penambahbaikan berterusan sehingga tempoh keseluruhan proses, termasuk pembukaan akaun, dapat diselesaikan dalam masa hanya satu bulan menjelang selepas 1 Julai 2026.
Sementara itu, beliau memaklumkan setakat April 2026, sebanyak 5,230 permohonan daripada bayi di Sarawak telah diterima bagi EFS, bersamaan kira-kira 60 peratus daripada jumlah keseluruhan 8,743 yang layak bagi tahun ini.
