KOTA SAMARAHAN: Pembinaan Pusat Kanser Sarawak bernilai lebih RM1 bilion dijangka bermula pada awal tahun depan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, pembinaan itu sekali gus memperkukuhkan kemudahan rawatan kanser di negara ini sebagai pusat rawatan moden kedua selepas Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya.
Katanya, projek itu akan dibangunkan di atas tapak seluas 27 ekar bersebelahan Pusat Jantung Sarawak dengan kapasiti 310 katil serta dilengkapi kemudahan rawatan pesakit luar dan pesakit dalam.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak akan membiayai kos pembinaan sebanyak RM1 bilion menerusi mekanisme pembiayaan yang telah dipersetujui, manakala nilai keseluruhan projek dijangka melebihi jumlah tersebut.
“Hospital berkenaan turut akan dilengkapi teknologi dan peralatan perubatan terkini bagi meningkatkan kualiti rawatan kanser di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi taklimat tender dan lawatan tapak Projek Pusat Kanser Sarawak di sini, hari ini.
Mengulas proses tender, Nanta berkata, sesi taklimat itu melibatkan syarikat yang berjaya melepasi peringkat prakelayakan bagi memberi penerangan terperinci mengenai skop kerja, spesifikasi serta keperluan projek sebelum mereka mengemukakan cadangan masing-masing.
Katanya, syarikat yang disenarai pendek dijangka mengemukakan reka bentuk dan tawaran tender selewat-lewatnya Oktober ini, sebelum Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada awal 2027.
Kontraktor yang dilantik katanya, akan diberi tempoh lima tahun bagi menyiapkan reka bentuk dan pembinaan projek berkenaan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia atas kepercayaan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan untuk menyelaras pelaksanaan projek itu serta berharap pusat rawatan tersebut dapat disiapkan mengikut jadual agar memberi manfaat kepada rakyat, khususnya pesakit kanser di Sarawak.
