Simpanan KWSP kunci kesejahteraan hari tua

KUCHING: Semua pekerja di negeri ini dinasihati supaya mengutamakan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membina dana simpanan mencukupi demi masa depan selesa dan sejahtera.

Timbalan Pengarah KWSP Wilayah Sarawak, Irma Jalil berkata, simpanan KWSP boleh dijadikan perbelanjaan menyara kehidupan apabila sudah bersara kelak.

Sehubungan itu katanya, setiap pekerja digalak memiliki simpanan minima RM935,000 sekiranya mahu menjalani kehidupan sejahtera apabila sudah bersara, katanya pada Sesi Libat Urus Bersama Media Sarawak dan Pemegang Taruh anjuran KWSP di sini, hari ini.

Beliau mewakili Pengarah KWSP Wilayah Sarawak, Aminuddin Abdul Aziz.


Hadir sama Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, Nursyahida Abdullah, Ketua Seksyen di Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, Shahimah Shaharuddin serta ketua-ketua cawangan KWSP di Sarawak.

Beliau berkata, untuk membolehkan setiap penyimpan mencapai simpanan minima itu, seseorang pekerja dikehendaki mencarum RM500 sebulan (termasuk caruman majikan) ketka mula bekerja pada usia 21 tahun.

Sambil memberitahu, Sarawak adalah antara negeri yang mencatat caruman tertinggi, Irma berkata, setakat Jun tahun ini, KWSP mempunyai lebih 885,000 anggota aktif mencarum dalam KWSP.

“Ini adalah satu perkembangan yang baik hasil libat urus dan program outreach KWSP di seluruh negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, Irma turut menjelaskan peranan penting
KWSP dalam melindungi pekerja melalui beberapa aspek dan program serta aktiviti yang telah dilaksanakan.

Antaranya, simpanan bulanan yang dikumpulkan dilaburkan dalam pelbagai instrumen yang sah untuk memberikan dividen tahunan, sekaligus mengembangkan nilai wang pekerja.