Jati diri belia diperkasa menerusi sukan, kepimpinan

KUCHING: Sebanyak 164 pasukan membabitkan 4,100 pemain dan pegawai dari seluruh Sarawak bakal berentap dalam PETRONAS Youth Football Closed Tournament (PYFCT) dan PETRONAS Youth Football Champions League (PYFCL) 2026, sekali gus menjadikan edisi kali ini terbesar sejak diperkenalkan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pasukan yang bersaing untuk PYFCT dipecahkan kepada tiga zon pertandingan iaitu sebanyak 84 pasukan di Kuching bermula 25 Julai sehingga 24 Oktober, 56 pasukan di Bintulu bermula 1 Ogos sehingga 8 November dan 24 pasukan di Mukah bermula 26 September hingga 15 November.

Katanya, pasukan terbaik kategori bawah 14 dan bawah 16 dari setiap zon PYFCT akan dihimpunkan dalam satu pertandingan elit iaitu PETRONAS Youth Football Champions League (PYFCL).

“Kejohanan ini akan berakhir dengan PYFCL 2026 yang dijadual berlangsung di Kuching dari 6 hingga 13 Disember 2026, menghimpunkan juara-juara daripada setiap zon untuk merebut kejuaraan keseluruhan.

“Ia akan menjadi seperti Piala Sarawak ataupun liga dalam Sarawak tapi melibatkan belia,” katanya ketika dalam satu sidang media PYFCT dan PYFCL 2026 di sini, hari ini.

Tambahnya, selepas kejayaan edisi 2024 dan 2025, kejohanan kali ini diperluaskan dengan pengenalan Mukah sebagai lokasi baharu selain Kuching dan Bintulu, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pemain muda di seluruh Sarawak.

Beliau memberitahu, pengalaman kejohanan turut dipertingkat menerusi penggunaan aplikasi mudah alih Easy Tournament yang membolehkan ibu bapa, jurulatih, pemain dan penyokong mendapatkan jadual perlawanan, keputusan, kedudukan pasukan serta perkembangan terkini kejohanan secara masa nyata.

Tambahnya, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) akan terus komited memperkasa golongan belia menerusi sukan, pembangunan kepimpinan dan penglibatan komuniti.

Menurut beliau, dua kejohanan itu menjadi bukti komitmen kementerian dalam melahirkan pemain bola sepak tempatan yang berkalibar dan generasi baharu yang lebih sihat, aktif, berdaya tahan dan bersatu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Pengerusi Bersama PYFCT 2026 Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Setiausaha Tetap MYSED Dzulkornain Masron, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak merangkap Pengerusi Bersama PYFCT 2026 Norazibah Mohd Rabu serta dif kehormat lain.