Premier Sarawak rasmi Jambatan Batang Lupar 1 esok, persiapan lancar

SEBUYAU: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini meninjau persiapan akhir menjelang Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1 yang akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, esok.

Tinjauan dilaksanakan menerusi raptai penuh yang melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bersama pelbagai agensi bagi memastikan aspek protokol, keselamatan, logistik, teknikal dan pengurusan majlis berjalan lancar.

Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Pengarah JKR Sarawak, Datu Ir Dr. Cassidy Morris serta pegawai kanan agensi berkaitan.

Jambatan Batang Lupar 1 telah dibuka kepada orang ramai pada 21 Mei tahun ini sempena majlis prapelancarannya dan kini menjadi pemangkin kepada peningkatan kesalinghubungan serta mobiliti penduduk di kawasan pesisir Sarawak.

Kemudahan itu turut dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi, memudahkan pergerakan harian dan menyokong pembangunan sosioekonomi di kawasan sekitarnya.

Pelaksanaan raptai penuh mencerminkan komitmen semua pihak untuk memastikan majlis perasmian berlangsung dengan teratur, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur negeri.

Jambatan sepanjang 4,884 meter (m) itu dibina mengikut Standard JKR R5 sebagai jambatan dua lorong sehala dengan 87 pier sungai, menjadikannya antara projek jambatan paling signifikan yang pernah dibangunkan di Sarawak.