KWSP perkukuhkan kerjasama strategik dengan media Sarawak

KUCHING: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memastikan maklumat tepat dan sahih berkaitan disampaikan secara lebih berkesan kepada ahli mereka di Sarawak.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, Nursyahida Abdullah berkata ini kerana KWSP menguruskan simpanan lebih 18 juta ahli komited menyediakan perkhidmatan berkualiti serta komunikasi yang telus dan konsisten manakala Sarawak pula memainkan peranan yang semakin penting dalam pembangunan negara.

“Ini sekali gus memerlukan pendekatan komunikasi yang mengambil kira faktor geografi, demografi dan kepelbagaian komuniti bagi memastikan maklumat KWSP dapat disampaikan secara lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Bersama Media Sarawak dan Pemegang Taruh anjuran KWSP, di sini, hari ini.

Nursyahida Abdullah berkata, sehubungan itu KWSP akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan media serta pelbagai pihak berkepentingan di Sarawak.

“Ini bagi memastikan masyarakat di Sarawak menerima maklumat tepat, sahih dan mudah difahami mengenai perlindungan sosial serta simpanan persaraan,” tambahnya.

Katanya, KWSP juga berharap sesi libat urus seperti ini akan terus menjadi platform bertukar pandangan, mengukuhkan kerjasama strategik serta menambah baik pendekatan komunikasi demi kesejahteraan rakyat dan masa depan persaraan yang lebih terjamin.