SIBU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Uma Daro Liling Padong, Sungai Asap, Belaga berjaya mengharumkan nama Sarawak apabila menduduki tempat ketiga dalam Anugerah Aspirasi Desa Madani (ADM) yang berlangsung di Jengka, Pahang baru-baru ini.
Menurut penasihatnya, Pemanca Umek Jeno berkata, JKKK Rumah Panjang Uma Daro tersenarai bersama-sama 13 lagi JKKK lain dari seluruh negara bagi merebut ADM anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Beliau berkata, dengan kemenangan tersebut pihaknya membawa pulang wang tunai RM50,000 dan tropi yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Katanya, JKKK Rumah Panjang Uma Daro juga turut dianugerahkan Anugerah Khas Video Viral yang membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan tropi yang disampaikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah oleh Datuk Hajah Rubiah Wang.
“Kami amat berbangga dengan kejayaan ini bukan setakat berjaya mengharumkan nama Sarawak malah anugerah ini penghargaan besar buat kami di pedalaman. Walaupun berada di kawasan pedalaman kami mampu melakukan yang terbaik untuk Sarawak.
“Kejayaan ini juga memberi gambaran jelas pembangunan dilaksanakan Kerajaan Sarawak selama ini sememangnya turut merangkumi kawasan pedalama. Kita akan terus berusaha melakukan yang terbaik kepada Rumah Panjang Uma Daro,”katanya.
Beliau berkata, Uma Daro didiami kira-kira 900 penduduk, terdiri daripada lapan blok bangunan dan sebanyak 115 pintu merupakan sebuah petempatan masyarakat Orang Ulu dari entik Kayan terletak di bawah Skim Penempatan Semula Bakun (BRS), Sungai Asap, Belaga.
