SIBU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 3,000 jemaah di Masjid An-Nur, di sini, hari ini.
Ketibaan Abang Johari di masjid pada kira-kira 12.30 tengah hari, disambut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee serta Pengerusi Jawatankuasa Masjid An-Nur Sibu Ustaz Ghaiazra Mohammad Ali.
Khutbah Jumaat bertajuk “Keistimewaan Hari Jumaat dan Solat Fardu Jumaat” disampaikan sebelum solat yang diimamkan Imam Besar Negeri Sarawak Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Selesai menunaikan solat, Abang Johari meluangkan masa kira-kira 20 minit bersalaman dan beramah mesra dengan para jemaah, selain menandatangani buku pelawat masjid.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Temenggung Dato Sri Wan Hamid Edruce.
Abang Johari dijadual menghadiri Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Zon Sibu, Kapit dan Mukah di Hotel RH pada 3 petang ini, sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Komuniti Sibu di Hotel Kingwood pada sebelah malam.
Abang Johari berada di Sibu sempena lawatan kerja bagi menghadiri Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu di Dataran Tun Tuanku Bujang esok.
