KUCHING: Sarawak terus memantapkan ekonomi halal dengan menjadikan sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu utama melahirkan produk berkualiti tinggi yang mampu bersaing di pentas dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ekonomi halal bukan lagi sekadar memenuhi keperluan umat Islam, sebaliknya perlu menjadi penyelesaian yang memberi manfaat kepada seluruh manusia.
“Kedudukan strategik Borneo membuka laluan ke pasaran ASEAN, China dan India, sekali gus menawarkan peluang besar kepada produk halal Sarawak untuk menembusi hampir separuh populasi dunia.
“Produk yang mematuhi piawaian halal dan memenuhi keperluan manusia akan diterima merentasi sempadan agama serta negara,” katanya ketika merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) 2026, di Hotel Waterfront di sini, hari ini.
Tegasnya, penyelidikan saintifik menjadi kunci menghadapi cabaran perubahan iklim, terutama dalam menjamin keselamatan makanan dan kesihatan masa depan.
“Sebagai contoh, Sarawak sedang membangunkan padi saka di Baram yang hanya ditanam sekali.
“Namun padi ini mampu mengeluarkan hasil sehingga lima tahun, selain menghasilkan beras berkanji rendah yang berpotensi memberi manfaat kepada pesakit diabetes,” ujarnya.
Dalam bidang teknologi, Abang Johari menyatakan, Sarawak terus melangkah ke hadapan menerusi penyelidikan cip semikonduktor berasaskan gallium nitride oleh SMD Semiconductor, sejajar dengan perkembangan pesat era kecerdasan buatan (AI).
Pada masa sama ujarnya, kerajaan negeri turut melabur kira-kira RM300 juta bagi membangunkan pusat penyelidikan klinikal untuk meneroka potensi biodiversiti Borneo dalam menghasilkan ubat-ubatan baharu.
Sehubungan itu, Abang Johari turut menggesa saintis dan ahli akademik memperhebat penyelidikan agar Sarawak terus menjadi peneraju dalam inovasi makanan, kesihatan dan teknologi.
Beliau turut berharap agar BIHAS 2026 menjadi medan yang menyatukan kerajaan, akademia dan industri dalam membina ekosistem ekonomi halal yang mampan, progresif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
