BETONG: Kerajaan Sarawak akan membangunkan semula tanah yang dikembalikan Kerajaan Persekutuan yang tidak dibangunkan dalam tempoh lima tahun secara lebih tersusun.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelan pembangunan disusun bagi memastikan pembangunan yang lebih teratur dan mampan pada masa hadapan.
“Kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk membangunkan semula kawasan tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan tanah yang tidak dibangunkan dalam tempoh lima tahun kecuali jika terdapat pelan pembangunan yang jelas seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1063 (MA63).
Pembangunan semula tanah itu termasuk di kawasan RASCOM yang telah diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri membabitkan peruntukan RM1.5 bilion disediakan bagi menaik taraf rumah panjang, memperbaiki jalan raya dan merancakkan ekonomi setempat termasuk sektor pertanian, katanya.
Premier Sarawak menegaskan, dalam tempoh lima tahun lalu, Sarawak mencapai pelbagai kejayaan hasil perancangan pembangunan strategik.
Kejayaan itu, tambahnya, tertumpu kepada pembangunan infrastruktur serta pengukuhan ekonomi, khususnya dalam sektor pertanian dan Betong.
Kerajaan katanya, membangunkan taman agro dan menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan hasil pertanian.
Sektor pelancongan juga menunjukkan potensi besar dan tarikan seperti Bukit Sadok mempunyai nilai sejarah serta penambahbaikan akses jalan dari Kuching ke Betong, akan membantu menarik lebih ramai pelawat, katanya.
Di Batang Ai pula, beliau berkata, Sarawak telah berjaya mengeksport ikan empurau ke Singapura, satu pencapaian yang membanggakan.
Pembangunan ini turut disokong oleh kemudahan jalan raya lebih baik serta STOLport, yang membolehkan barangan mudah rosak dihantar dengan cepat ke pasaran melalui udara, katanya.
Abang Johari berkata, pendidikan dan teknologi turut menjadi keutamaan dan baru-baru ini kerajaan telah merasmikan Pusat Sains, dan dalam masa dua hari sahaja, seramai 3,000 pengunjung hadir, terdiri daripada pelajar dan ibu bapa.
Sementara itu, Timbalan Premier merangkap Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kawasan RASCOM sudah diserahkan kepada kerajaan negeri dan pelan pembangunan disusun bagi memastikan pembangunan yang lebih teratur pada masa hadapan.
