BINTULU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, masa depan pembangunan sektor pertanian harus memperkasakan golongan petani, menarik minat bakat muda, memupuk keusahawan dan memperkukuhkan daya tahan masyarakat.
Beliau berkata, bagi Sarawak, pembangunan sektor pertanian bukan sekadar mengeluarkan makanan tetapi memastikan keselamatan makanan.
Selain itu katanya, langkah itu turut mewujudkan pekerjaan berkualiti, menjana kemakmuran ekonomi untuk masyarakat luar bandar, melindungi kekayaan biodiversiti dan menjaga kesejahteraan generasi masa depan.
“Mentransformsi sektor pertanian bukan hanya mengenai meningkatkan produktiviti tetapi menghasilkan makanan secara mampan,” katanya ketika merasmikan Kongres Kelestarian Pertanian dan Keselamatan Makanan 2026 (COSAFS2026) di sini, hari ini.
Premier Sarawak berkata, dalam memperkasakan sektor pertanian itu, Sarawak turut melindungi hutannya, memelihara biodiversiti, mengurus sumber air secara bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Matlamat Sarawak, katanya, adalah untuk mentransformi sektor pertanian dengan cara moden, menggunakan teknologi dan mewujudkan industri bernilai tinggi melalui inovasi, transformasi digital, pertanian lestari, bioteknologi, AI, mengguna jentera, menyatukan tenaga dibaharui dan pengurusan sumber secara mampan.
Di seluruh dunia sekarang, tambahnya, sistem pengeluaran makanan menghadapi cabaran yang tidak menentu akibat perubahan iklim, kekurangan sumber, geopolitik, kehilangan biodiversiti dan perubahan permintaan pelanggan.
Pada masa sama, kepesatan kemajuan teknologi juga mencipta cara baharu mentransformasi sektor pertanian dengan cara lebih pintar, berdaya tahan dan mampan, tegas beliau.
Abang Johari menambah, Sarawak berada dalam kedudukan menjadi peneraju wilayah dalam pertanian mampan dan inovasi pengeluar makanan.
Sarawak yang dianugerah sumber tanah yang luas, kaya dengan biodiversiti, potensi tenaga dibaharui dan ekosistem pertanian yang pelbagai, katanya.
Kejayaan yang dicapai di Agrihub Gedong, katanya, akan diperluaskan ke tempat strategik bagi menyokong agenda pembangunan sektor pertanian Sarawak secara mampan.
Sama penting dalam sektor pertanian itu ialah membangunkan modal insan, katanya dan menegaskan, penubuhkan Sekolah Veterina dan Sains Haiwan (SVAS) akan mengukuhkan keupayaan tempatan dalam perubatan veterina, kesihatan haiwan dan pembangunan ternakan bagi menyokong daya tahan pembangunan sektor agri-makanan dalam jangka masa panjang Sarawak.
Beliau mengucap terima kasih kepada Universiti Putra Malaysia Sarawak bersama rakan kerjasama atas kejayaan menganjurkan COSAFS 2026 yang menghimpunkan peserta antarabangsa.
