Limbang disambung ke Grid Utama Sarawak, bebas diesel

LIMBANG: Bahagian Limbang disambungkan ke Grid Utama Sarawak sekali gus menamatkan kebergantungan bekalan elektrik dari penjanaan diesel.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini melalui pelaksanaan Projek Sambungan Grid Utara dan sambungan ini disokong oleh talian penghantaran 275 kilovolt (kV) antara Bunut-Medamit dan Medamit-Lawas.

“Menerusi penyambungan Limbang kepada Grid Utama Sarawak, rakyat di bahagian ini akan menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil, berdaya harap dan lebih mampan melalui sumber tenaga hidro yang mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2026 di Kampung Nauran, di sini, semalam.

Abang Johari dalam teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata penyambungan grid itu bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat, malah membuka lebih banyak peluang pembangunan industri, perniagaan dan pelaburan di Limbang.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail turut hadir.

Abang Johari menjelaskan, ini juga menjadi langkah penting ke arah merealisasikan Borneo Grid, iaitu jaringan tenaga serantau yang berpotensi menghubungkan Sarawak, Sabah dan Brunei pada masa hadapan.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak turut mempercepat pelaksanaan projek strategik lain termasuk Jambatan Sungai Limbang Kedua dan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang yang kini melepasi 67 peratus kemajuan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan di bahagian itu.

“Projek-projek ini juga akan memperkukuhkan hubungan Limbang dengan bahagian-bahagian lain, mempercepatkan pergerakan barangan dan manusia, serta membuka lebih banyak peluang dalam sektor perdagangan, pelancongan dan pelaburan,” tambahnya.