Fatimah mohon geran MWKS ditambah

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak memohon agar kerajaan menambah Geran Tetap Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS), kata menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, sejak 1986, MWKS menerima geran sebanyak RM54,000 setahun.

Oleh itu katanya, kementerian memohon agar geran tersebut ditambah kepada RM500,000 bagi membantu MWKS melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Permohonan tersebut dikemukakan oleh menteri berkenaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Fatimah dalam ucapan aluan menjelaskan, kadar geran sedia ada yang diterima sejak 1986 itu sudah tidak lagi relevan dengan keperluan semasa, sekali gus memerlukan penilaian semula.

Fatimah menjelaskan, MWKS memainkan peranan penting sebagai penyelaras aktiviti organisasi wanita di seluruh Sarawak, selain bertindak sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam hal berkaitan isu, dasar dan perundangan demi kesejahteraan mampan wanita serta keluarga.

Dalam perkembangan sama, beliau turut berharap agar Kerajaan Sarawak memperluaskan penajaan kepada wanita negeri ini yang mengikuti program Sarjana Sastera dalam Kepimpinan Pembangunan di AWLUC, Pulau Pinang.

“Ketika ini, hanya tiga peserta menerima penajaan berjumlah RM105,000. Kita berharap program ini dapat diperluaskan sehingga lima kohort bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berkaliber,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha berterusan dalam pembangunan kapasiti wanita amat penting bagi memastikan golongan itu terus berperanan aktif dalam pembangunan sosial dan ekonomi negeri.