Sarawak terus utamakan pendidikan menerusi FTES

DARO: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) antara inisiatif kerajaan untuk memastikan anak negeri berkelayakan tidak tercicir daripada melanjutkan pengajian tinggi akibat kekangan kewangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pelaksanaan inisiatif di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu mencerminkan dasar Kerajaan Sarawak yang meletakkan pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang.

“Inisiatif ini bagi memastikan pelajar yang memenuhi syarat dapat melanjutkan pengajian tanpa perlu menanggung yuran pengajian,” katanya ketika merasmikan Ekspo Pendidikan FTES Yayasan Sarawak 2026 Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro di Dewan Masyarakat Daro.

Menurutnya, pelaksanaan dasar pendidikan tinggi percuma itu meringankan beban ibu bapa dalam menampung kos pendidikan anak-anak.

Beliau sehubungan itu menasihatkan pelajar agar memanfaatkan peluang dengan memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik.

Dr Safiee turut menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah daripada Yayasan Sarawak kepada 32 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 serta dua pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 daripada sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro.

Turut hadir Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.