KUCHING: Wanita merupakan pemacu utama transformasi Sarawak ke arah negeri maju dan berpendapatan tinggi, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Justeru, katanya peranan golongan tersebut kini melangkaui institusi keluarga kepada pembangunan ekonomi, pendidikan, teknologi dan kepimpinan.
Beliau berkata, perubahan landskap pembangunan menuntut golongan itu menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi dan menguasai ilmu baharu agar terus menjadi penyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Katanya, Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan transformasi ekonomi berteraskan kelestarian alam sekitar menerusi penggunaan tenaga bersih seperti hidrogen, pendigitalan serta teknologi moden bagi memastikan pembangunan mampan, selain memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki Sarawak.
Perubahan gaya hidup moden katanya, menyaksikan wanita memainkan peranan lebih besar dalam mengurus keluarga, termasuk membimbing anak-anak menyesuaikan diri dengan pembelajaran digital yang kini menggunakan kemudahan seperti papan pintar di sekolah.
“Peranan wanita kini semakin luas, mereka bukan sahaja mengurus rumah tangga, malah turut memimpin organisasi penting dalam sektor awam dan ekonomi. Wanita adalah tulang belakang kepada kemajuan Sarawak pada masa hadapan,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026, di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, Kerajaan Sarawak turut memperkukuhkan pembangunan modal insan menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
“Langkah ini bagi membolehkan anak Sarawak yang layak melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Usaha memperkasakan pendidikan itu penting bagi meningkatkan pendapatan isi rumah, sejajar dengan pengiktirafan Bank Dunia yang mengiktiraf Sarawak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi sejak 2022 dan menyokong sasaran menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030,” ujarnya.
Beliau memberi jaminan kerajaan akan terus menyediakan peruntukan bagi memperkasakan pembangunan wanita, termasuk latihan kepimpinan, pembangunan kapasiti serta sokongan kepada pertubuhan wanita, agar golongan itu terus menjadi pemangkin kemajuan Sarawak pada masa hadapan.
Sementara itu, mengulas permohonan geran tambahan yang dikemukakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Abang Johari berkata, perkara itu akan dimasukkan ke dalam bajet tahun depan.
“Berkenaan permohonan Dato Sri Fatimah tadi, kita akan memasukkannya dalam bajet tahun depan, bagi pembangunan sistem dashboard serta Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak,” katanya.
