Projek fasa kedua Jalan Ulu Skrang giat dibina, mudahkan pergerakan 2,500 penduduk

ENGKILILI: Projek fasa kedua Jalan Ulu Skrang, Lubok Antu bakal memberi nafas baharu kepada kira-kira 2,500 penduduk di pedalaman Ulu Skrang.

Projek itu dibina apabila laluan darat yang terjejas akibat keruntuhan beberapa jambatan kayu dan pembetung dipulihkan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata projek bernilai RM20.51 juta itu penting bagi memastikan penduduk menikmati sistem perhubungan darat yang lebih selamat, mudah dan berkesan.

Sehubungan itu katanya, pemantauan di lapangan perlu dilakukan bagi memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut perancangan.

“Kita mahu melihat sendiri keadaan di lapangan dan memastikan projek ini dilaksanakan dengan baik kerana jalan ini penting kepada masyarakat,” katanya selepas meninjau tapak projek sempena XPDC 3.0 Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, dekat sini semalam.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, projek itu merangkumi pembinaan dua jambatan komposit sepanjang 67 meter (m) setiap satu merentasi Sungai Mengong dan Sungai Penabun.

Setiap jambatan turut dilengkapi jalan pendekat sepanjang 250m, selain kerja pembinaan jalan berstandard Premix R1, kerja tanah, penyediaan subgred, sistem perparitan serta pemasangan kemudahan keselamatan jalan raya.

Dalam pada itu, Uggah berkata kemajuan projek perlu diberi perhatian serius susulan kelewatan dengan kontraktor diarahkan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kemajuan kerja di tapak.

Beliau berkata, cabaran logistik dan penghantaran bahan binaan ke kawasan pedalaman antara faktor yang perlu ditangani.

Projek yang dilaksanakan Autopower Consultant (M) Sdn Bhd itu dan tarikh siap asal ditetapkan pada 11 November 2027.