Taman Bioindustri buka peluang Sarawak rebut ekonomi bio global

SAMARAHAN: Taman Bioindustri Sarawak (SBP) menjadi landasan negeri untuk mengaplikasikan teknologi bio dalam menghasilkan produk berasaskan sumber semula jadi yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan SBP merupakan kesinambungan usaha penyelidikan Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) bagi menterjemahkan hasil penyelidikan kepada produk bernilai tinggi.

“Taman Bioindustri ini seharusnya menjadi pusat yang menumpukan kepada pengaplikasian teknologi yang kita bangunkan melalui Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak.

“Ia untuk menghasilkan produk yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peletakan Batu Asas dan Pertukaran Perjanjian bagi Taman Bioindustri Sarawak (SBP), di sini, hari ini.

Menurutnya, Sarawak mempunyai kelebihan menerusi kekayaan hutan hujan dan kepelbagaian biologi, termasuk tumbuhan berpotensi perubatan yang boleh diteroka untuk menghasilkan produk kesihatan, kosmetik dan farmaseutikal.

Katanya, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi DNA berasaskan data turut boleh dimanfaatkan bagi mengenal pasti sebatian bio serta mempercepatkan proses penyelidikan dan pembangunan produk.

Pasaran bioteknologi global diunjurkan meningkat daripada 1.5 trilion dolar AS pada 2026 kepada 4.3 trilion dolar AS menjelang 2034.

Ini katanya, membuka ruang kepada Sarawak untuk merebut peluang dalam ekonomi baharu.

Sementara itu, mengulas berkenaan produk berasaskan bio, Premier Sarawak berkata Sarawak turut menyasarkan untuk meraih sebahagian daripada pasaran produk yang dijangka bernilai 6 trilion dolar AS menjelang 2030, didorong peningkatan permintaan terhadap produk kesihatan.

“Menurut Fortune Insights, perniagaan berasaskan bio bernilai kira-kira 4.3 trilion dolar AS di seluruh dunia.

“Kita mempunyai sumber biodiversiti yang besar dan boleh dimanfaatkan melalui Taman Bioindustri untuk menarik pelabur,” katanya ketika ditemui media setelah merasmikan majlis tersebut.

Abang Johari berkata, kerjasama pelabur dengan SBC turut berpotensi mengkomersialkan pelbagai produk berasaskan biodiversiti Sarawak, sekali gus memberi nilai ekonomi lebih tinggi kepada sumber semula jadi negeri.