PRO-DR 2026 sasar 14 daerah, himpunkan 40 reruai

KUCHING: Jerayawara Project of Dreams Realized (PRO-DR) 2026 yang diadakan selama 29 hari menghimpunkan lebih 40 reruai pendidikan, TVET, pembiayaan dan kerjaya.

Program berkenaan merentasi 14 daerah di Sarawak.

Ia dianjurkan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) memasuki edisi ke-11 sejak diperkenalkan 2015.

Menurut kenyataan TEGAS, bagi edisi 2026, jerayawara ini menghimpunkan lebih 40 reruai melibatkan institusi pengajian tinggi, penyedia TVET, agensi kerajaan, badan pembiayaan pendidikan serta rakan industri dalam satu platform yang mudah diakses oleh komuniti.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus merangkap Ahli Lembaga Amanah TEGAS, Wilson Nyabong Ijang berkata, pendidikan dan kemahiran penting dalam melahirkan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan sektor strategik Sarawak.

“Setiap keputusan yang dibuat pelajar hari ini akan memainkan peranan penting dalam menentukan kesiapsiagaan mereka untuk menghadapi peluang dan cabaran masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, demikian semasa merasmikan PRO-DR Roadshow 2026 Edisi ke-11 bagi kawasan Kapit.

PRO-DR 2026 turut menampilkan Ekspo Pendidikan dan Kerjaya, Teknologi Masa Hadapan, Aktiviti Amali STEM, TVET Masters serta sesi perkongsian berkaitan laluan pendidikan, TVET, pembiayaan, kerjaya, STEM dan ekonomi digital.