Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 catat pengiktirafan Malaysia Book of Records

SAMARAHAN: Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 mencatatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi kejayaan menghimpunkan komuniti barangan terpakai terbesar.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan itu menjadi platform menghimpunkan belia dari seluruh Sarawak bagi mengetengahkan bakat, kreativiti dan potensi generasi muda.

“Sambutan Minggu Belia Sarawak pada tahun ini turut melakar satu lagi kejayaan membanggakan apabila berjaya mencatatkan pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records.

“Ini kerana kita berjaya menghimpunkan komuniti barangan terpakai terbesar,” katanya dalam ucapan aluan Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abdul Karim menjelaskan, pencapaian itu membuktikan belia mampu menghasilkan kejayaan yang memberi impak kepada masyarakat apabila diberikan ruang, kepercayaan dan sokongan.

Tema “Belia Aspirasi Kita” dikekalkan tahun ini sebagai kesinambungan yang mencerminkan kedudukan aspirasi belia dalam agenda pembangunan Sarawak.

Antara pengisian utama ialah Kejuaraan Belia, Ekspo Belia , Youth X-Tive dan Youth Marketplace yang memberi tumpuan kepada kepimpinan, kebolehpasaran, keusahawanan, kreativiti, inovasi dan komuniti.

“Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 dirangka dengan teliti bagi menyediakan peluang kepada golongan belia untuk meneroka potensi diri, membina kemahiran baharu, meluaskan wawasan serta mempersiapkan diri menghadapi peluang dan cabaran pada masa hadapan,” tambahnya.

Abdul Karim berkata, pendekatan program yang diterajui belia memberi peluang kepada golongan muda untuk tampil sebagai fasilitator, usahawan, pemain industri dan sukarelawan.

Beliau turut memaklumkan Anugerah Belia Sarawak 2026 menjadi pengiktirafan kepada individu dan pertubuhan atas kecemerlangan dalam kepimpinan, kesukarelawanan, pembangunan komuniti, inovasi serta khidmat kepada masyarakat. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI