KUCHING: Kerajaan Sarawak membelanjakan sebanyak RM99.5 juta bagi melaksanakan inisiatif Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) dari 2024 sehingga Julai 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ini melalui penglibatan sebanyak 270 klinik panel aktif yang dilantik Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di seluruh Sarawak.
“SCHB adalah inisiatif Kerajaan Sarawak yang menyediakan kemudahan rawatan pesakit luar.
“Bagi perkhidmatan perubatan dan pergigian secara tunai dengan maksimum RM500 setahun untuk seorang warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat kenyataan mengenai SCHB di Wisma Kebajikan, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Fatimah berkata, sehingga 31 Julai 2026, seramai 233,389 orang merupakan penerima aktif SCHB, menyaksikan 67,487 orang merupakan warga emas yang merupakan penerima bantuan bulan JKMS.
Beliau juga mengumumkan sebanyak 176 klinik panel layak dilanjutkan kontrak dua tahun sebagai klinik panel SCHB dari Julai 2026 hingga Jun 2028.
“Manakala, 33 klinik hanya layak dilanjutkan kontrak itu bagi satu tahun sahaja,” tambahnya.
Beliau berkata, bagi kelulusan permohonan baharu sebagai klinik panel SCHB dari Julai 2026 hingga Jun 2028 terdapat lima klinik panel manakala tiga klinik tidak disyorkan dan JKMNS akan mengadakan pertemuan dengan mereka bulan ini.
